Peringatan Ajer..


Jumaat, 14 Ogos 2009

Selsema Babi Menakutkan

Berikut adalah paparan berita di Utusan hari ini. Sesungguhnya penularan Selsema Babi semakin serius.. Aku sendiri takut nak buat aktiviti luar rumah.. aku bersetuju dengan cadangan FOMCA agar lokasi panas khususnya yang melibatkan kes kematian akibat Selsema Babi perlu didedahkan.. agar rakyat dapat mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan kesedaran mereka..Aku lihat rata-rata masih lagi mengambil enteng akan perkara ini walaupun telah ada kematian berlaku di kawasan aku ni.. Harapan agar Kementerian Kesihatan lebih telus dan tidak menyembunyikan fakta kerana inilah anggapan rakyat pada masa ini. Menteri dan Kerajaan dikatakan gagal mengawal wabak ini.. Namun, barang diingat..ia bukan sahaja tanggungjawab pihak Kementerian Kesihatan, Kerajaan, Kakitangan Hospital, Klinik namun kita semua berperanan memastikan wabak ini tidak menjadi semakin parah..Berdoalah kita semua..mohon kepada Yang Maha Esa..


Dedah lokasi panas H1N1

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kementerian Kesihatan diminta mendedahkan lokasi-lokasi panas kes selesema babi atau influenza A (H1N1) terutama kawasan yang membabitkan kematian atau mempunyai kadar jangkitan tinggi supaya orang ramai lebih berwaspada.

Melalui pendedahan itu, orang ramai boleh mengelakkan kawasan tersebut sama seperti larangan yang dikenakan oleh kerajaan terhadap lawatan ke negara-negara yang dilanda wabak itu sebelum ini.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, kerajaan perlu bersikap lebih terbuka dengan mendedahkan lokasi-lokasi yang mencatatkan jumlah kes jangkitan dan kematian tinggi akibat wabak H1N1.

“Maklumat mengenai lokasi-lokasi tersebut akan memberi mesej dan panduan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada selain meningkatkan tahap berjaga-jaga apabila berada di kawasan tersebut.

“Sebagai contoh, jika seseorang mahu mengunjungi mana-mana kawasan yang telah diklasifikasikan sebagai berisiko H1N1, maka mereka secara sendirinya akan meningkatkan tahap berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Muhammad Shaani, kaedah melabelkan lokasi-lokasi panas H1N1 perlu dilakukan mengikut kadar jangkitan dan kes kematian akibat wabak itu di sesuatu kawasan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman juga bersetuju bahawa Kementerian Kesihatan perlu memaklumkan kepada orang ramai tentang tempat-tempat yang berisiko tinggi berlaku penularan wabak H1N1.

“Kementerian tidak perlu mendedahkan maklumat lokasi panas tersebut secara terperinci seperti kawasan perumahan atau kampung tertentu sebaliknya melabelkan lokasi panas mengikut negeri, bahagian atau daerah,” katanya.

Selain itu, pihak PPIM juga mencadangkan kementerian membeli sejenis alat pengesan virus H1N1 yang dikatakan dijual di luar negara secara pukal untuk dibekalkan kepada pusat perubatan termasuk klinik-klinik swasta tempatan.

“Dengan adanya alat itu, lebih ramai pegawai perubatan dapat melakukan kerja-kerja pengesanan virus H1N1 di kalangan pesakit mereka dengan cepat dan praktikal dalam usaha menangani penularan wabak H1N1,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula berkata, langkah mendedahkan lokasi panas H1N1 itu perlu memandangkan kes kematian akibat wabak itu di negara ini semakin meningkat sehingga mencecah lebih 50 orang setakat ini.

“Kawasan atau daerah di negeri yang mencatatkan kes H1N1 tinggi perlu didedahkan kepada orang ramai sama seperti kaedah yang digunakan kerajaan dalam menangani wabak denggi selama ini,” katanya.

Jacob berkata, tahap keseriusan H1N1 dalam kawasan panas itu boleh diklasifikasikan menggunakan warna seperti hitam untuk lokasi berisiko tinggi, putih berisiko sederhana dan merah berisiko rendah.

“Keadaan ini akan menyebabkan masyarakat atau institusi di sekitar lokasi itu lebih sedar akan bahaya wabak H1N1 sekali gus mengambil langkah lebih ketat untuk mengelak penularan wabak itu seperti membatalkan semua majlis terbuka,” ujarnya.

Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPM), M. Subramaniam berkata, kerajaan perlu mendedahkan lokasi panas H1N1 di seluruh negara agar masyarakat boleh mengambil langkah-langkah pencegahan yang sepatutnya.

“Katakanlah kawasan panas itu terletak di Alor Setar, Johor Bahru atau Pulau Pinang, maka hospital-hospital yang terbabit di sana boleh bersiap sedia dari segi rawatan antivirus dan penutup-penutup mulut dan hidung yang mencukupi,” jelas beliau.

Tambahnya, PPPM mahu Kementerian Kesihatan berbuat demikian bukan bertujuan untuk menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat sebaliknya hendak meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap wabak H1N1.

“Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan kekerapan hebahan maklumat berkaitan H1N1 di media massa kerana kita dilihat masih ketinggalan berbanding negara-negara luar dalam aspek ini,” ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan